Monday, June 29, 2009
- BERITA DARI LANGIT -
- BERITA DARI LANGIT -
Diantara liar hitam malam
Aku bersimpuh sopan
Membiarkan mulusnya embun menyental tubuh
Agar hilang dosa dan dakian siang kota
Yang tidak pernah sunyi dengan melankoliknya kehidupan
Sedang aku meniti ke wilayah itu
Ruh ini seakan terasing
Tertampan aku terkebelakang, aku lihat perbezaan antara wujud dan hijab
Diantara lecetan pundak aku ditinggalkan galas
Rungutan aku menceceh tak terkawal
Namun pun baru dipetala awal
Aku dihalangi
Jasad merayu tak diteruskan cerobohan
Ke wilayah itu milik al-Malik
Dan kegetiran
Dan iblis yang goyah bertaburan
Dan para malaikat yang setia
Dan makhluk-makhluk yang mencemuh
Dan lintangan angin
Dan sondolan awan
Dan aku yang terkedu tak tergerak
Khabarkan aku berita dari langit
Biar aku tanggung ekstasi ilmuNya sedikit lagi
Beban yang aku galas bertukar kecintaan
Limpahi aku dengan pencerahan
Khabarkan aku berita dari langit
Ketika tingginya aku bisa jadi bintang
Ketika rendahnya juga aku bisa jadi riak bintang dimuka tasik
Dimana tika sedih aku mendongak meratapi cahaya
Tika lenang aku jadikan kau permata bait-bait syair cinta
Khabarkan aku berita dari langit
Aku ingin dengar rahsianya
Petir lah aku dengan pedoman sulit
Agar aku bisa terus melangkah
Penderitaan selama kini belum lagi menjadikan aku seorang pahlawan
Aku belum puas meniti denai kepayahan...
-catatan John si ‘orang gila’-
-0855, Jun 21, 2009 wilayah separa sedar-
Thursday, June 25, 2009
- APA HALNYA MATI? -
-APA HALNYA MATI?-
Aku bertanyakan ibu aku halnya mati
Senyum ibu aku tak pernah berhenti mengulas
‘Itu halnya Azzawajallah yang empunya.
Kalau berkasih sayang, nah itu telah aku ertikan sepanjang hidup kau’
Terima kasih ibu kerana kecintaan kau terhadap anak ini
Lantas aku panjangkan soalan mati kepada karib aku
Sinisnya juga datang dengan seribu yang tersirat
‘Aku persetankan mati.
Itu kesinambungan propaganda hidup atas landasan membataskan’
Terima kasih karib kerana kecintaan kau terhadap hidup
Dan aku teruskan rayauan ini ke kaki gunung
Ke arah tiada modenisasi
Ke arah bebas hidup dan mati
Dakian aku terhenti di batuan teratas
Aku lihat hanya unggas yang malu bertaburan menyembunyi
Dan renek pokok dek kesejukan, bergoyang mengejek
Tiada tempat dapat aku rujukkan teka-teki mati
Aku lihat dihadapan jurang tersergam
Tidak tertampak dalamnya dilindung awan bersatu
Aku kira didalamnya jurang menyimpan kunci jawapan mati
Walau gementar tak dapat aku bendung
Aku beranikan setapak lagi mendaki
Belum pun sampai teguh langkah tadi
Lembut aku disapa oleh tiupan angin mesra
Bergoncang tubuh ini diherdik pulang
Dibisikkan nasihat sebelum aku akur berpaling pergi
‘Perjanjian kau dibumi belum tamat lagi.
Takkan kau jumpa jawapan mati sebelum gugurnya daunmu di Luh Mahfuz.
Bagi yang telah mengalaminya takkan pulang bercerita.
Maka kembali lah kau ke pangkuan desa’
Terima kasih sang jurang gunung kerana mencintai hidup dan mati
Rayauan aku kembali ke desa terhenti lagi
Di tasik menghijau, ditepiannya seorang perayau sedang bersyair memuji yang Agung
Aku bersimpuh sambil menghayati
Setiap perlakuan dan bait-baitnya menarik aku terus menjadi saksi
Tersinggung dengan kehadiran, dia langsung pergi
Hampir hilang dipandangan
Meninggalkan aku yang terus terbinggung
Langkahnya terhenti sambil berpaling
Seperti membaca hati aku, nun diperjauhan dia melaungkan
‘Dan yang Esa itu telah mengkhabarkan setiap perkara.
Tentang hidup dan mati.
Juga tentang hidup sesudah mati.
Kepada kekasihNya sebelum kau dan aku’
‘Dan kekasihNya juga telah mengkhabarkan lima yang ini ;
Muda sebelum tua.
Kaya sebelum miskin.
Lapang sebelum sempit.
Sihat sebelum sakit.
Dan hidup sebelum mati’
‘Dan aku telah melalui empat yang diatas.
Kini aku akan meninggalkan kau untuk menghadapi yang kelima’
Terima kasih sang perayau kerana kecintaan kau terhadap menasihati
Lantas buat sekian kalinya
Aku mendongak meratapi langit
Terusan mengerutkan seribu lagi persoalan halnya mati...
-catatan John si ‘orang gila’-
-0615 Jun 02, 2009, wilayah separa sedar-