Tuesday, December 22, 2009

-CHUGIRA!- (TILL DEATH!)

-CHUGIRA!-
(TILL DEATH!)

Aku berdiri
Diatas mata kukril
Mengendong aksara dunia
Mainkan aku satu irama cinta
Pasti aku joget tarian dewa
Meski kini kita bukan lagi di sorga

Kini lima saat teroka sedunia bersama
Menjadi satu lagi aparatus sejarah
Terkekeh
Derai tawa
Pecah
Berdekah

Aku berdoa
Kau menjadi tetamu
Dan bila bersua
Akan aku kata
Kau adalah mimpi terindah
Manakala aku penganut igauan ngeri
Tetapi aku bisa berjanji
Menunggu kau di reservoir
Lalu bersama disisi ingatan nirwana
Seerat genggaman kau dan aku
Kita jeritkan ‘chugira!chugira!’

-catatan John si’ orang gila’-
-0100 Rabi Dis 23, 2009, wilayah separa sedar-

~Label : *Al

Wednesday, December 16, 2009

-NOSTALGIK ROMANTIK-


-NOSTALGIK ROMANTIK-

Ini lah tribut ku
Puisi kuburan selayak tempat mu
Kini waktunya kita ke maya rega
Perlu ditinggalkan sorga sementara
Melonjakkan pucuk perjuangan
Menyambung cita cita, berdendang gah di balik angkasa
Lalu kita tabur benih benih simpati
Sehingga kita rugi
Ke dalam ruh ruh penuh hasad
Yang kian mereput bersama lidah lidah nista
Sedang mereka tercangak cangak
Berkobar kobar membina
Memorial untuk kita

Dan di tembok maya rega
Bersulam bukti
Menjadi saksi
Tentang siapa kita
Sambil kita terus mengenang
Bertahun yang terbuang...

-catatan John si ‘orang gila’-
-0145 Khami Dis 17, 2009, wilayah separa sedar-

Label : *RDA (rehat dengan aman) SSP
*Selamat datang anjakan paradigma

-SATU PERJALANAN SUFI-

-SATU PERJALANAN SUFI-

Melihat kembali kepada diri
Persalinan yang kian kehilangan warna
Kian kusam terungkai keutuhan
Melihat disetiap tampalan perca
Yang menyimpan berjuta suara-suara peristiwa
Dan benang-benang yang kian meretas
Menjadi saksi perjalanan sufi

Merenung ditautan alam semesta
Mancari-cari janji pengenalan jiwa
Berbaloi kah aku berhenti disitu
Duduk di Jalallah di balai nyawa
Mengunci alam menongkat langit

Habuk-habuk dari bengkel si tukang kayu
Menceritakan getirnya berawan larat
Melirik terutuh kayu membuka rahsia
Butiran permata yang lima
Syariat, Tarikat, Hakikat, Makrifat, al-Tauhid
Dan aku tetap di penghujung balai
Melurut setiap kejadian, menyusun setiap kesimpulan
Jika tekad aku yang tidak berbalas
Aku kan tetap bernafas disitu seizinNya

Aku ini yang terlalu naïf
Menghadapi dunia bersendirian
Tunjukkan aku ruang udara polos
Beri aku peluang mendaki dan bernafas
Dan disatu hari yang gemilang
Aku pasti aku akan ditarik keluar
Dari cengkaman taklik yang memucukkan waham

Dipengakhirannya aku kupas segala rahsia
Dan disimpan menjadi maha rahsia
Aku lancarkan perahu iktikad
Menyusuri galur sungai ilmu hakikat
Aku kini yang hanya mampu melihat
Menghela nafas panjang tanpa daya berbuat sekecil sesuatu
Menjadi saksi setiap yang berlaku di atas dunia

Dan lintasan peristiwa yang kau gelar khayalan
Menemani malam tanpa tidur
Mengajak mengintai ke dalam istana iblis
Yang entahkan kosong
Entahkan berisi
Adakah ini yang dinamakan kepercayaan?
Tersergam gah diantara garisan halus timbangan
Diantara kiri dan kanan
Oh Tuhan, berkahi aku dengan kekuatan...

-catatan John si ‘orang gila’-
-0547 Jumi Nov 13, 2009, wilayah separa sedar-


ps: *selamat tahun baru Ma'al Hijrah...

Tuesday, December 15, 2009

-MELODI SOLILOKUI JAMBAN-


-MELODI SOLILOKUI JAMBAN-

Kapan masa aku tetap disitu
Bersatu antara ruangan dan sudut
Sejuk berlendir

Tidak mengapa
Aku setia

Diam menganga menanti mu
Tertutup sekala, terpulang budi bicara
Apa kau fikir aku jamban?

O ya, aku terlupa
Lahirnya aku adalah jamban
Tetapi jangan kau terlepas ingatan
Tentang segala malu; yang telah kau lucutkan
Di hadapan ku

-catatan John si ‘orang gila’-
-0354 Jumi Nov 20, 2009, wilayah separa sedar-

- (T_T) -

- (T_T) -


Aku adalah air mata
Mewakili setiap kesedihan dan hiba
Tetapi kau diriku, menderita telah terlalu lama...

-catatan John si 'orang gila'-
-0104 Rabi Dis 16, 2009, wilayah separa sedar-

Saturday, December 12, 2009

-MIMPI NGERI TERINDAH-

-MIMPI NGERI TERINDAH-

“Sumpah! Dalam mimpi itu aku bersumpah yang aku bermimpi didalam mimpi itu aku bersumpah yang aku bermimpi didalam mimpi itu aku bersumpah yang aku bermimpi tentang kamu…”

Terkebelakangan ini aku sering dipenatkan dengan mimpi-mimpi. Sehinggakan bertemu kamu, satu watak yang telah lama aku tidak luangkan masa untuk fikirkan. Banyak yang telah berlaku dan banyak lagi yang akan berlaku. Aku, sering saja terperangkap dalam keakuan, betapa kuat keakuan itu sekalipun kalis penafian, tetap mudah dipatahkan. Jadinya keakuan yang sekali gus menjadi pucuk waham tidak lah sekuat mana kesannya berbanding kedegilan cerucuk egoistik.

Kamu, yang menjarah tanpa bayang, meninggalkan rintisan-rintisan lorong yang sunyi setelah limpasan, terus merosakkan warisan-warisan lukisan tabah yang sepatutnya kental dibaja peristiwa golekan roda karma. Memperlekehkan nilai halus didalam urus seharian yang seharian gembira kamu menjadi sedatif dan upah segala rencana terlaksana. Berkira-kira letaknya titik pesongan yang pasti menjadi en route pilihan meloloskan dari dipertanggungjawapkan. Itu lah seharian kamu yang terkini, menjadi key player.

Dan mimpi, semacam pastinya itu satu alamat, terus di tafsir seperti yang termaktub mengikut apa yang mau menjadi kepercayaan di siang hari. Dan tafsiran-tafsiran itu jatuh berhelaian diatas bara yang menunggu umpan api, melenyapkan dan menelan segala gerak-geri terancang. Mimpi-mimpi yang tertagih, memaksa untuk dibuka kembali ‘perjanjian-perjanjian lama’ bagi mencari kekhilafan atau kealpaan nahu ketika sememangnya tiada lagi plot-plot satu drama lapuk. Mengais dicelah jejari sengatan saat, untuk satu ruang yang mungkin bakal menjadi the great leap. Namun mimpi-mimpi itu masih menguasai barisan-barisan nafas keluar masuk didalam satu jam yang tergenting.

Satu persatu kini aku tanggalkan hingga berbogel jujur tanpa pakaian. Sebutir delima didalam segelas air yang telus-pandang, itu lah aku yang sedang berdiri dihadapan kamu. Mungkin kah bahang ini dikedap jalinan benang halus yang utuh memegang memori kabur , hingga aku lemas didalam peluh lelah kehidupan? Dan betapa besar derai tawa kamu tika mimpi malam aku terus memberi ruang buat kamu untuk muncul menguasai.

Mau saja jemari aku menujah-nonjol butang off pada remote control, sekiranya mimpi itu datang lengkap bersamanya, agar aku bisa membasuh fatik bahang aspal desa yang masih enggan meninggalkan belulang.

Sayup-sayup laungan subuh sang muadzin, pasti, aku terjaga dek raungan ku sendiri dan pasti, itu kerna kedatangan mimpi ngeri terindah tentang kamu.

Aku keletihan, bersumpah dan berjanjilah dengan ku, kamu, bahwa tidak akan kembali lagi ke dalam mimpi rehat ku...

-catatan John si ‘orang gila’-
-0222 Ahi Dis 13, 2009, wilayah separa sedar-