Saturday, August 29, 2009

- RINTIHAN PASCA-MERDEKA -

- RINTIHAN PASCA-MERDEKA -

Meskipun menjelang sore selepas 52 tahun merdeka
Aku lihat kau liat enggan bangkit
Kau semakin lena dibobok ratapan alam
Tenggelam lemas yang melenangkan
Pun kau masih borak tentang kemerdekaan
Dan semestinya kemerdekaan itu seperti yang kau beli ditoko-toko buku

Kau para pemuda pemudi kami;
Kau yang meraba
Terisung dan semakin terkebelakang
Memalu canang retak
Sambil kau tersadung digigi lopak-lopak kefahaman
Kau menyeranah tidak lain diri sendiri
Dan longgokan ilmu yang dulu kau ludahi
Bergulung persis ombak siap menelan nakhoda-nakhoda riak
Menghantui setiap detak persiaran masa
Kau kini aku lihat kian lemas

Kau para guru kami;
Berlenanglah mendidik kami
Layaknya seorang pujangga bebas
Hingga ampuh akal kami
Biar kami menghirup khamar pencerahan
Dibawah lembayung kasih gedung ilmu
Menerap kefahaman perjuangan hidup
Bergurindam seni didalam bahasa
Tanpa kau letakkan sebarang batasan cukup
Yang memutuskan pertalian ilmu antara kita

Kau para bapa kami;
Seorang jeneral didalam rumah
Seorang lagenda didalam perjuangan
Rentetkan terusan kepada kami
Nostalgia-nostalgia kehidupan
Tiuplah runut-runut resonen semangat
Takala kami menguap kebosanan
Khabarkan kepada kami tentang insurgensi agar kami terus berwaspada
Bidang badan tempat puluhan peluru bersarang
Seakan galeri bagi kami
Mempamirkan setiap kisah getir digaris setiap peristiwa lelah
Biar kami sentiasa dipetir mahalnya erti kemerdekaan

Kau para ibu kami;
Nyanyikanlah dengan nyaring ketika kau membuai kami
Lagu-lagu rakyat penuh rempah kehidupan
Menyediakan diantaranya jalan-jalan perdamaian
Agar didalam tidur kami pun dilimpahi ilmu
Menjadi cahaya sakti menemani tidur malam kami
Menghindarkan hantu-hantu kesesatan
Dan takala kami bangkit melindungi kau
Jutaan semangat zaman sentiasa dipundak kami
Bersama sonata-sonata dan anthem-anthem rakyat
Yang pernah kau para ibu kami ajarkan kepada kami

Kau para pemimpin kami;
Tangan-tangan kotor kau yang mengunjurkan korupsi
Menenyeh tinta berpayungkan panji-panji ;
-Kedaulatan
-Kemerdekaan
-Perjuangan
Kau gadaikan kami setelah kau gadaikan maruah kau sendiri
Kau sembunyikan kebenaran
Kau menyesatkan kami dibawah kecelaruan fikiran
Hingga hilang upaya dari anak-anak kami untuk bingkas melawan
Terlumpuhlah semangat dan perjuangan nasab kami
Disinilah segalanya terhenti
Tergantung diantara zaman
Terjerut diantara kalam rintihan pasca-merdeka

Oh dengar!
Dengar lah!
Di pelebas telinga yang kau nyatakan sensitif
Oh dengar!
Dengar lah!
[Dengarkan lah] rintihan halus pasca-merdeka...


-catatan John si ‘orang gila’-
-2311 Julai 29, 2009, wilayah separa sedar-

Wednesday, August 19, 2009

-SAJAK PERAWAN GERING-

-SAJAK PERAWAN GERING-

Tampuk nurani menelan tenteram
Merindui tiap titipan akhir kecundang
Aku telan
Begitu juga dia kiranya

Apakah telah terhindar
Berjuta macam kengiluan disegenap liang roma
Di seper tiga setiap malam dia teresak
Adakah pernah dia kira aku juga begitu

Lalu aku terus menelaah
Kitab-kitab usang perjalanan waktu
Bermusuhan dengan hati sendiri
Mengingkari setiap fakta yang selamanya rahsia

Inilah saat dimana aku pasti
Ketika aku menulis – Sajak Perawan Gering
Matahari hangus terbakar kerana air matanya
Gunung bergoncang dipalu sedunya
Bumi merekah mendengar alasannya
Kering air lautan dek rintihannya
Langit hitam tercemar wajahnya
Itu lah dia wajah perawan gering
Tidak mampu dibenci
Dan bukan hak aku melaksanakan hukum
Yang nyata aku telah tiada
Dikunyah menjadi ubat perawan gering

Apakah kini tujuan harus dilipat-lipat
Dikirimkan diperjauhan pelusuk
Kini yang memakai wangian kebebasan
Kini yang melihatkan setiap cahaya jalanan
Tentu saja terdapat bentuk-bentuk halangan
Tetapi kini itu lebih menjanjikan keberlangsungan
Dan kini itu yang terus tersenyum mengerti

Disatu ketika dulu
Betapa luluh mendengar derita ditanggungnya
Disetiap sesi-sesi malam bagai mimpi ngeri didalam sedar
Dan dadah yang tiada banyak membantu
Adakah semua itu benar?
Sekali pun hanya jajaan, aku hamparkan kepercayaan
Disetiap belahan dan jahitan
Wujudkah parut-parut yang mampu bercerita?
Atau mampukah cerita itu untuk dipercayai?

Dan seiring seretan langkah
Persoalan membentuk lingkaran muram
Berkemampuan menelan segala sifatnya
Tiadalah ertinya disetiap yang telah dia nyatakan
Bila nafi terus berlingkar sarang diruang kepercayaan
Aku yang bersifat lupus
Hanya bersandar rehat menikmati pandangan
Semoga kau terhapus gering wahai perawan…

-catatan John si ‘orang gila’-
-1424 Ogos 20, 2009, wilayah separa sedar-



gambar ihsan dari x-men

Saturday, August 8, 2009

- PROPESI KE VI -

-PROPESI KE VI-

Aku mengerti teramat mengerti
Di setiap genyitan
Maupun kira halus bahu dibelai
Kau tetap ingin mendominasi
Tika salam
Dibungkaman telapak pun mau kau jajah
Tiada sesaat terlepas
Kau hirup
Kau jilat nyawa-nyawa penuh nikmat
Rakus mendengus ditekak diktator moden

Entah - isikan pengertian
Apa nikmatnya disalib secara halus
Diatas kau julang pemimpin zalim
Dibawah kau saksi penindasan
Di kiri kau lakukan ketidakadilan
Dikanan kau tertawakan kemiskinan
Pun masih kau iakan lidah yang dipahat

Dan rumput yang kering ditijak kau
Menjadi mukjizat betapa keji pembohongan yang kau bawa
Tunduk lah menyebah
Launglah ‘satu Malaysia’
Sujud lah
Nabi melayu sudah tiba
Derhaka lah
Mereka yang menolak kebanjingan kau

Mari
Kemari dan jadi lah pendukung yang setia
Setiap perkara pasti ada cara penghalalannya
Pasti dikurniai karamah
Dan buta lah mata rakyat jelata
Anubis ISA dan FRU Ramsis
Pengganti Rakib dan Atit

Dan kaca mata itu sungguh bergaya
Bergaya dan berjaya
Menutup kejahatan dibalik ekor mata musang berbatik
Riak muka tak bersalah
Menimbus kemelut yang terus mendesah
Juga
Bauan kuping meloya

Mari nobatkan
Mari tabalkan
Dari utara hingga selatan tanah air
Berserta setiap binaan blok-blok Malaysia merdeka di atasnya
Bersaksilah
Inilah yang ditunggu
Inilah yang dinanti
Propesi ke enam, Nabi Melayu – sudah tiba

Sujud
Sembah
Dan berlapang lah untuk disalib

-catatan John si ‘orang gila’-
-0241 Ogos 08, 2009, wilayah separa sedar-
-0320 Ogos 09, 2009, Embrace Hall, Johor Bahru-

Saturday, August 1, 2009

-SESAT DI KOTA REVOLUSI-





- SESAT DI KOTA REVOLUSI -

Selamat pagi kota jumud Gemas
Kini di kota revolusi Kuala Lumpur
Pagi penat pagi lewat pagi semangat
Hari ni tiupan massa bergema gelora

Assalamualaikum kah? Allahuakbar kah? Reformasi kah? Bungkam kerajaan kah? Atau bertegur sapa “Eh kau! Hey KITA! – Sama saja!

Perit pekik
Berlari berhenti dan takbir
Bersilih, selalunya mata pedih
Rembesan mukus tak terkawal – walau gaya cukup teroris
Ayoh! Kita tegakkan panji keadilan!

Surai terburai
Bom asap sungguh menyengat
Tidak, tidak bukan; patik mohon derhaka
Itu bau wang rakyat ditembak
Untuk rakyat
Alahai…

Hapuskan ISA - fatik, kulit perih
Namun tak serentong hati
Rakyat didahulukan, apa dia?
Revolusi diteruskan, agaknya lah…

Malam, aku kembali menjadi rakyat yang ‘baik’
Baju sudah tukar
Bau pun wangi-sensasi terbakar masih di kulit
Enak juga berlakon borjuis
Partisipasi dalam lumba kota ronda-ronda hobo
Duduk, selamat datang
Cukai servis, cukai kerajaan [lagi?]
Ramainya di dalam benteng kapitalis-pasarmega
Muka-muka yang semestinya tiada dalam barisan
Persetan, kau sendiri yang hendak tidur

Didalam keenakan mee kari aku terkenang
Aneh mengapa
Di mana lekanya manusia idealis kala insurgensi abad ke-21?
Adakah cuma simulakrum pondok-pondok?

Ah ~ enaknya air
Dvd lanun dan hijaunya damai
halusinasi radikal
Aku ucapkan
Selamat malam kota revolusi Kuala Lumpur



-catatan kolaborasi Si Tolol dan John si ‘orang gila’-
-0339 Ogos 2, 2009, wilayah separa sedar-
-kota revolusi Kuala Lumpur-