Sunday, April 26, 2009

-SEMALAM, AKU DAN KAU-


Baru semalam

Paru-paru dibolongi wasap 4000 kimia berbau hemp
Getusan-getusan panik dirembes tiroid dicuit ether
Lambakan adrenalin digasak kontraban meth
Paranoid oleh penenang eramin
Ditolak wain merah, si ‘pulau panjang’ yang tak mampu dicicip lagi
Dimana pun aku lahir,mati pun tak aku lupa siapa aku

Binggar

Hiruk

Pikuk

Baru dua puluh delapan nyawa aku
Tetapi aku sudah terhidrasi, kesemputan
Masakan aku mampu menempuh seribu tahun lagi?

Aku bukan jesut memimpin kemas jemari kau
Tidak aku bukan mahadi pemenuh propesi
Bukan juga pemoral si konfusi
Nilai murni hanyalah mahu aku sendiri
Tujahan-tujahan keras ‘survival of the fittest’
Aku ingin hidup memenuhi diri aku

Pemuitis tua menggulung buluan jagung kering ditemani
Ayam jagoan nya
Mempersetankan kanak-kanak yang menarik upih
Di situ akhiran yang aku mahu
Berpencak nobat mengalunkan qasidah semesta
Bersama murid yang juga sahabat aku

Dan juga baru semalam

Aku diludahi ekspresi memek mencebik
Bertuankan jantan optimis ‘dunia lama, manusia baru’
Ada sebentar aku kesah?
Aku menghormati mu,
Maka halanglah perasaan kau menjatuhi aku
Kerana demi kenangan

Fikir kau, aku tak seperti kau
Dan tidak sedetik aku mohon jadi seperti kau
Kerna itu kekufuran terbesar terhadap diri aku
Dua, tiga, delapan, atau berjuta insan berlainan
Tapi bersatu harapan, hidup seperti olengan bot diulik tari si ombak
Percuma kekiri, kemana-mana arah
Begitu lah juga mahu nya aku

‘Aku mahu hidup seribu tahun lagi’
Dan jika itu benar, bebaskan lah hidup aku dari dihakimi diri kau

-Retaliasi peristiwa 28 Mac 2009-
-catatan john si orang gila, 29 Mac 2009-

Saturday, April 25, 2009

- BAHASA MELAMBANGKAN JIWA (PANAS DARI MATAHARI BOLEH DIRASA, PANAS DIDALAM HATI SIAPA YANG TAHU?) -

Bro, bahasa biar cantek sket bro...

Panas ni!!Biasa.. Perkataan seperti diatas boleh dikatakan hampir sinonim dengan kehidupan seharian kita. Perkataan yang disusun menjadi ayat, dihamburkan sebagai satu amaran atau 'warning' tentang ketidaksabaran (?) atau keadaan yang hampir kepada hilang pertimbangan dek amarah. Tidak kira apa bahasa yang kita ungkap kan, samaada Bahasa Melayu, Mandarin, Kanton, Urdu, India, bahasa pasar Daerah Batu Pahat, dan seterusnya, seringkali akan memberi diantara dua impak ini, pertama : setiap bait-bait perkataan itu difahami dan maksud ayat itu tercapai. Kedua : perkataan dan ayat yang dihamburkan tidak sampai maksudnya dan disalahertikan.

Keadaan yang pertama tadi biasa nya berlaku diantara murid dan guru bahasa di dalam kelas. Tiada situasi yang pelik biasanya yang berlaku didalam keadaan pertama tadi. Malah kejayaan penyampaian objektif diantara pengungkap dan pendengar tercapai hampir 100%.

Tetapi bagi situasi kedua, biasanya berlaku dikalangan peneraju-peneraju, penggikut, pengambiltahu, penyibuk, dan dikalangan individu-individu yang kononnya prihatin didalam komuniti yang sangat naif dan kecil di Daerah Batu Pahat. Keadaan atau atmosfera ketika itu akan menjadi sangat pelik. Terutama bila situasi tersebut berlaku dikalangan pemikir-pemikir haluan tidak 'mainstream' Daerah Batu Pahat. Seringkali apabila sesuatu ayat yang dihamburkan atau secara tenang dizahirkan, dan berpendirian kontra dengan apa yang difikirkan oleh pihak yang mendengar/membaca, akan disalah ertikan.

Salah satu insiden tentang keaadaan kedua ini berlaku baru-baru ini. Apabila sang pengungkap menyatakan sebuah teori yang amat radikal dan bertentangan dengan fahaman bulat-bulat sang pendengar. Maka tujahan-tujahan retaliasi pendengar di hamburkan secara sinis kepada sang pengungkap tadi. Maka bibit-bibit hancing permusuhan mula dapat dihidu. Maksud dan objektif yang diungkap kan sang pengungkap secara individu disalahertikan menjadi teori yang mewakili kolektif. Tidak, perlu sekali dinyatakan disini, bahawa penulisan ini TIDAK membontoti telunjuk atau bertujuan membuka dan menggundang satu lagi medan perdebatan yang berbaur permusuhan. Tetapi semata-mata mengekspresi kekesalan dan rasa kasihan kepada komuniti kecil dan naif Daerah Batu Pahat.

Apakah tiada pelajaran yang diajar oleh peristiwa lalu yang boleh dijadikan sebagai satu garis panduan hidup secara damai? Dimana satu masa dahulu, Daerah Batu Pahat yang tidak dikenali, menjadi sebutan bibir-bibir merekah, tentang komuniti kecil bawah tanah yang semakin gah dengan kugiran-kugiran anak jatinya dan kelompok-kelompok pemikir zaman pencerahan, ditengah-tengah pendakian mencari kegemilangan, hancur dek salah faham yang maha menjejaskan.

Kini lebih sepuluh tahun episod sebu itu telah ditinggalkan, aduhai, masih terdapat segelintir individu yang tidak belajar. Tidak menghormati pendirian dan hak individu lain. Terlalu taksub dengan pemikiran sendiri sehingga pemikiran individu lain dianggap berengga melata di tong-tong sampah busuk! Benar, bertukar-tukar pendapat akan mengembangkan lagi minda, tetapi pertukaran pendapat di Daerah Batu Pahat dilihat seperti bertukar-tukar tikaman, tembakan, ludahan atau apa-apa yang sinonim dengan maksud melukakan yang mengundang permusuhan dan benci yang maha meruntuhkan.

Harap tari bahasa yang kita selalu ungkapkan seharian seindah apa yang kita rangka kan untuk ditulis. Walaupun yang pasti setiap kata didatangkan dengan maksud, harap maksud itu tidaklah disalahertikan menjadi bibit-bibit pencetus amarah diantara kita.Masa sudah 'time'. Penulisan ini perlu dihentikan kerana keizinan daripada bekas wang teramat terbatas. Sepatutnya penulisan ini harus siap ditulis dahulu sebelum di kirim di kafe siber berbayar agar tiada berlaku pembaziran masa dan wang. Alas... (bodohnye aku!)


- SEMATA-MATA LUAHAN KESAL INDIVIDU KECIL YANG SERING DICEBIK, DIMEMEK, DIBENCI DAN DI KOTAK-KATIK KAN. TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INDIVIDU LAIN, PERTUBUHAN KERAJAAN ATAU NGO. SEKADAR SIMPATI DENGAN DIRI SENDIRI DAN DAERAH BATU PAHAT YANG NAIF -

- catatan John si 'orang gila' -
- April 10, 2009, wilayah separa sedar -

Friday, April 24, 2009

-ini rumah baru aku -

Memang aku mengaku, aku tertinggal jauh ke belakang dalam perlumbaan mengeksploitasi kehebatan dunia tanpa sempadan ini. Malah aku juga tidak akan berkecil hati jika ada mulut-mulut manis (selepas makan kuih lompang) yang menjuih mengatakan aku ini sering tertinggal walau dalam apa-apa hal sekali pun.

Ya, itu memang aku. Dan hinggakan menjamu selera pun aku sering tidak dapat makan dengan sepuasnya kerana sajian biasanya habis sebelum aku sempat menambah dek terlalu lambat mengunyah. Ayu perkataan digantikan lembab. Tidak mengapa, itu membuatkan aku sentiasa akan terangan-angan untuk terus menikmati sajian itu kemudian nanti, dan pastinya aku akan makan sendirian!

Ini rumah baru aku. Terlalu kosong kerana selama ini aku hanya menulis di dada blog yang bukan milikan aku. Dan seperti selalu keadaanya bagi mereka yang baru berpindah rumah, kebanyakan perabot atau isi rumah lama akan diangkut sekali berpindah ke rumah baru. Dan itulah yang akan aku lakukan. Disamping terus cuba sedaya aku untuk menzahirkan kekusutan permainan hati dengan tarian kata-kata, aku akan mengumpul kembali hasil-hasil separa sedar yang telah di'post' di blog-blog rakan dan sahabat aku. Diharap sekurang-kurangnya itu akan terus menjadi baja menggasak semangat dan minda aku untuk terus menghasilkan penulisan separa sedar yang lebih matang... Nikmatilah hidangan minda yang tidak selayaknya disini...

- HARI INI DELAPAN BELAS TAHUN NAN LALU ( KEINDAHAN ALAM ) -


- HARI INI DELAPAN BELAS TAHUN YANG DULU ( KEINDAHAN ALAM ) -


Hari ini delapan belas tahun nan lalu

Termaktubnya hukum dipokok Luh Mahfuz

Bahwa satu lagi keindahan alam dicipta

Diletakkan diantara dunia bersatu Adam ibunya Hawa

Untuk dicintai, untuk dihargai

Hari ini pada delapan belas tahun nan lalu

Dipamirkan keindahan alam itu

Bersama langit yang meluas, taburan bebintang cantik dikekang gelita pahit malam


Digendangkan tabor, telah lengkaplah keindahan alam itu

Didengarkan laungan Maha Besar Si Pencipta

Bersama bebintang terpilih, ditemani sentiasa


Makanya aku alpa keindahan alam itu

Tersihir diri aku dengan kebebalan dan haloba

Menganggap diri kerdil ini gagah, mampu

Tercuit mengagak dicuri keindahan alam itu

Bagi mencapai maksud memiliki


Maka,


Mana diamnya sang langit meluas?

Mana diamnya bebintang cantik?

Mana diamnya gelita pahit malam yang melemaskan?

Bagaimanakah nasib

Sang penyair lain yang mencari arah alunan qasidah jiwa melalui kau, keindahan alam?

Jika hadirnya aku sebagai pencuri?


Sayangnya,

Sang pendengar yang tak mau mengerti

Sayangnya,

Mulut terkunci bisu, telinga tersumbat tuli


Apa fungsi aku berdiri disini?

Mendendangkan irama beku syair menyanjung kau keindahan alam

Tetapi bukan maksud aku mahu ditepuk, mahu dipuji

Tidak sesekali,

Kerna aku berdiri berlandaskan niat tersendiri


Nah!

Aku pulangkan keindahan alam ini kepada yang hak

Telah aku lucutkan;


Kebebalan

Bangga

Keceluparan diri


Maka ampuni aku langit nan meluas, bebintang cantik dan gelita pahit malam

Kerna telah aku curi keindahan alam, sejenak

Bagi mendendangkan syair beku

Bagi meraikan hari ini delapan belas tahun nan lalu


Aku arahkan himpunan rapat jemari aku

Aku doakan selamat ulang tahun wahai keindahan alam

Selamat dan indahlah sepanjang tahun…




- indahlah sehingga hari pengakhiran walaupun tak semestinya aku sebagai penyanjung tetap engkau -

- catatan john si orang gila, Jan 27, 2009 -

Thursday, April 23, 2009

- ROMANTISASI TIDAK MEMBAWA MATI -


Semalam, satu tindakan agak berani (pada diri aku yang selama ini sentiasa takut, takut melukakan hati individu lain) telah aku ambil. Aku pun tidak pasti dari arah mana datangnya kekuatan dan siapa yang terus membisikkan bait-bait susunan ayat bagi aku untuk cuba menghentikan perbalahan bodoh kosong maha jelik diantara segelintir rakan-rakan. Dimana perkataan 'rakan' itu menjadi munasabah bagi aku adalah, sejauh mana aku pergi aku tetap menganggap mereka rakan. Pihak mereka, hak mereka untuk menentukan siapa aku disisi mereka. Dan aku tidak akan terkilan jika mereka menganggap aku hanya debu keringan tahi helang dipadang pasir yang melayang bersama deruan angin, hanya sekadar untuk muncucuk dan memedihkan kelompong biji mata mereka atas kesombongan dan ego.

Maka dalam remang matahari senja yang kian menipis menuju pahit malam, ditemani jam dinding yang menunjukkan jam 745 malam dan hembusan-hembusan asap rokok British American Tobacco Group, aku mendera bebutang di papan kekunci komputer riba aku dengan harapan dapatlah aku menulis sesuatu yang diharap dapat sekurang-kurangnya menyejukkan keadaan yang semakin teruap di beberapa lokasi lain. Nota itu aku kirimkan ke seorang rakan dimana aku pasti bukan hanya beliau seorang yang akan membacanya.

Yang tertulis antaranya berbunyi ;

pekik si pekong said...

enuf said... aku, antara penulis-penulis ssp, yang melabelkan PENULISAN AKU SENDIRI sebagai PENULISAN SEPARA SEDAR (pengenalan yang dimahukan oleh saudara akueMpTy), berasa sedikit sebanyak terkilan. adakah ditulis perkara-perkara yang terbuku dihati bertujuan berlumba blog manakah yang terhebat, terlingkup, tersuci, paling najis, terindah, paling buruk, atau manakah penulis yang masuk sorga atau yang mana terhumban di sebalik pintu neraka? selama ini aku memang selalu tidak dijemput untuk menulis atau mencatat apa-apa di dada-dada blog, maka diamlah aku sebagai pembaca dan penggali ilmu melalui idea-idea dan catatan rakan-rakan. tetapi terlalu sekian lama, rekahan-rekahan yang menampakkan persengketaan dibiar melarat hingga menampakkan kehitaman hati masing-masing. aku boleh terus persetankan busung-busung benci ini, tetapi jika aku biarkan aku akan jadi geli tidak tentu arah. maka nah, aku secara penuh sedar meluahkan rasa kesian dan terkilan kepada diri-diri kita, segelintir penulis di ssp dan juga individu-individu lain yang terus sama-sama membuka kudis nanah. makhluk humanoid hipertipikal, mungkin itu aku. tetapi aku bukan reptilia berumahkan tubuh manusia, maka aku harap benar tidak berlanjutan sundalan percanggahan ini... bukan maksud aku memberi ceramah, motivasi, amaran atau apa pun disini. cuma aku memekikkan persahabatan, seperti mana aku memekik 'pelangi kekitaan' di ssp. aku tidak berharap adanya 'feed back' terhadap ulasan aku, dan jika ada pun aku tidak akan menulis disini lagi. tetapi aku akan tetap membaca dan menanti input yang hebat-hebat...
terima kasih...

p/s : saudara qarma, jika ulasan ini agak canggung menumpang teduh di hasil penulisan kau, maafkan canggung aku...

- aku, rasanya kau tau siapa aku, otak yang masih dahagakan input yang hebat-hebat dari rakan-rakan yang sudi memberi, tetapi bukan hinaan, cacian, ludahan dan kencing hancing dan aku tidak berselindung -

Sekadar renungan, mungkinkah diri aku ini terlalu meromantisasikan keindahan zaman-zaman aku bersama rakan-rakan satu ketika dulu? Jika ianya benar, adakah salah perbuatan aku itu? Apa yang aku inginkan hanyalah masa-masa hebat bersama rakan-rakan kembali berulang. Walaupun aku tahu itu hanyalah satu utopia yang maha infiniti, maka biarlah aku terus bertempik melaungkan 'PELANGI KEKITAAN', dan biarlah tempikan aku itu disambung oleh suara lain, suara anak cucu aku, sehingga yang dikatakan utopia itu tadi menjadi kenyataan yang indah yang mana ketika itu dimanapun aku berada aku mampu untuk tersenyum dan terus meromantisasikan impian utopia yang lain pula...


p/s : Gambar diatas adalah gambar GPMG. Ada tiga laras. Sesiapa yang kental, ambil seorang selaras, tembak kepala sendiri. Baru lebih rock star dari Kurt Cobain...

Wednesday, April 22, 2009

- AKU SUDAH KAGET DAN CAPEK -


Aku memang agak penat. Ya, penat dengan udara perok, haring dari badan-badan kudis berbau peluh yang mencurah-curah akibat memaki hamun orang lain. Inilah ruang maha sulit aku. Ruang yang bukan benar-benar sulit, tetapi inilah tetap ruang dimana aku tidak akan berjumpa dengan persengketaan, sekurang-kurangnya tidak buat masa sekarang. Inilah yang terbaik aku mampu lakukan. Inilah 'last resort' aku. Aku tetap tidak mampu faham bagaimana saling melupakan atau memaafkan sudah tidak lagi wujud didalam jajahan takluk hati segelintir rakan-rakan aku. Aku masih ingat ketika duduk santai bersama Joe 'Carburator Dung', selepas sebuah persembahan 'gig' di Pontian sekitar tahun 1997. Sepatutnya memori picisan kosong ini telah diarahkan padam oleh aku, tetapi dikala begini tiba-tiba memori ini kembali menggamit. Umpama virus Trojan.gen yang sentiasa menduplikat, yang hampir mustahil untuk dipadam oleh anti-virus biasa, memori ini kembali untuk mentertawakan aku.

Ceritanya begini ;

' Saudara Joe, wah, mantap sungguh performance hari ni. Syabas!'

'Thanks y'all. Johor tetap hebat. Aku dengar scene kat Johor makin rabak. Batu Pahat pun dah makin cool. Keep it up u guys.'

'Boleh la Joe. So, aku ada benda nak tanya ni.. Bukan soalan yang ada jawapan yang firm la, cuma nak tanya pendapat kau je'

'Eh, takda hal. Rase cam rockstar abis la pulak.'

'Hahaha.'

'Hahaha.'

'Macam ni, aku nak tanya ape pendapat kau tentang friendship over matter? Adakah keterlaluan jika aku katakan compromising equal to hypocrisy bila berdepan dengan masaalah menyelamatkan satu-satu persahabatan?'

'Alamak... Aku bukan pakar terapi dalam hubungan. Camne ni?'

'Hahaha... Jawab jek la Joe, kang dah siap zine ni aku pos la kat kau. Free jek.'

'Aku rase tak de masaalah hipokrit pun yang timbul, kalau dari segi 'menyelamatkan' macam yang kau rujuk tu. Lagi pun beb, scene kite kecik jek. hari ni main gig kat Gelang Patah, esok dekat Golok nun dah sampai berita gig tu. Maksud aku, kita pusing-pusing pun orang-orang nih jugak yang kau jumpe. So, daripada buat muka kental jek baik kite berkompromi, ape yang kite pertahankan kita simpan dalam kepala, maniskan muka, hulur tangan salam n save the day. Win-win situation.'

'Tapi kalau kompromi pun, kat belakang tetap kutuk-mengutuk kan? Tu dah jatuh hukum hipokrit pulak tu. Macam mana Joe?'

'Sape suruh lu kutuk? Hahahah...'

'Hahahah....'

Banyak lagi arguement bernas yang samar-samar didalam memori ini, tetapi apa yang pasti aku dan Joe mengakhiri pertukaran pendapat itu dengan Joe masih mempertahankan pendapatnya dan aku tetap mengatakan itu hipokrasi. Tetapi aku dan Joe tidak bermasam muka atau menyimpan apa-apa perasaan yang tidak enak. Sekurang-kurangnya tidak aku.

Moralnya disini (bagi aku), macam mana tak sependapat pun aku rasa aku masih mampu untuk meneguk air dimeja yang sama, mampu menghulurkan tangan bersalaman, dan jika diminta rokok sebatang pun aku masih lagi tidak keberatan untuk menghulurkannya. Selagi yang meminta itu masih memakai wangian 'persahabatan', akan aku hulurkan sekali nyalaan bara rokok aku.

Jadi dimana silapnya? Adakah terlalu mahal ego untuk dibayar dengan budi bicara? Adakah yang lantang itu yang paling bijak? Adakah yang mempertahankan itu terlalu betul? Jika dilihat dari perspektif luaran ini adalah perkara mudah yang boleh dikompromi, tetapi sekali lagi, entah. Terlalu kompleks agaknya. Umur baru, retorik lama. Idea baru, corak pemikiran lama. Baju baru, hati hitam busuk yang lama!

Aku berazam akan sedaya aku pertahankan blog ini dari anasir-anasir prejudis, hasutan, dengki dan persengketaan, selagi yang punya itu aku. Dan aku tak fikir memori itu akan terpadam kerana memori itu kini selalu datang bertandang untuk mengejek aku yang terlalu kental mempertahankan compromising equal to hypocrisy satu masa dulu...