Thursday, July 30, 2009

-NASIB ANAK KAUM PADI-



- NASIB ANAK KAUM PADI -

Kita anak kaum padi
Kononnya malu hidup terjajah diri
Dan takala jirim kemerdekaan semakin hilang dari timbangan (~ dacing?)
Rupanya digadai petualang bangsa
Dan takala itu juga kau aku lihat
Semakin erat memeluk tubuh
Semakin kuat gelengan kepala tak peduli

Kita anak kaum padi
Yang kini tumbuh mencacat di sawah-sawah kontang ;
-Kontang ilmu
-Kontang semangat
-Kontang pengertian
-Kontang kebenaran
-Kontang perjuangan
-Songsang kongkang

Kita anak kaum padi
Kononnya makin tunduk makin berisi
Tapi sumur beracun paksian lewa senang
Kita hirup berwadahkan akar – kita anak kaum padi
Kononnya kaum suci menyumbang ruji
Tetapi sebenarnya hanya dari benih terbuang gred ‘D’

Kita anak kaum padi
Kini tumbuh hidup terus menyendiri
Engkau, engkau dan aku, aku
Berdoa berharap terbela hidup dijaga sang pagar dajal
Tanpa belulang berusaha sendiri
Diri mudah bergoyang dek angin lalu
Takut dan tak mampu mengawal nafsu
Enggan bebas dari kebergantungan liabiliti
Berkejar berlumba mimpi
Siapa paling kaya
Siapa paling berkuasa
Dan sebenarnya kita anak kaum padi
Yang seumur hidup menghirup kahak subsidi

Kita anak kaum padi
Kononnya bangga mencengkam tanah air
Tidur terlena dalam bobokan lagu-lagu rakyat
Kononnya kini sudah masa
Hidup sudah makmur, kita sudah merdeka
Leka dan lalai – kita rela dijual dengan murah

Kita anak kaum padi
Tak mampu dijaga ditatang lagi
Kini jamung jajahan bentuk baru mengancam ditanah sawah – kita anak kaum padi
Dan satu persatu aku lihat anak kaum padi menunggu untuk dipanggang
Hangus tiada abu - diperkosa api
Sehingga yang tersisa hanyalah lagenda-lagenda sulit
Kisah kita anak kaum padi

-catatan John si ‘orang gila’-
-0319 Julai 21, 2009, wilayah separa sedar-



-HARI INI BERNAS, BESOK TABUNG HAJI PULA?-
-HALANG DOMINASI ENTITI ASING KEATAS MAKANAN RUJI KITA!!!CATAT ULASAN TANDA BANTAHAN ANDA-

Wednesday, July 29, 2009

- PERISTIWA 'ALIF' -

- PERISTIWA ‘ALIF’ -

Malam ini milik aku
Di wangian kejayaan aku menghidu datangnya kuasa
Bersama kuasa, terpimpin kemewahan
Aku terhibur dengan perempuan-perempuan lagaknya aku dewa pencinta
Kepura-puraan yang diharap aku beli dengan wang ringgit
Tidak mengapa, aku masih terhibur

Aku pasti ini realiti
Jika mimpi pun, aku berdoa [aku] tak kan terjaga
Dan aliran likuer-likuer itu seakan aprodisiak membaja libido
Aku ingin terus minum hingga orgasma!
Aku ingin pitam diatas tubuh-tubuh munggil giur perempuan

Hanyutan aku terjeda dek sosok tubuh yang bergemilau
Aku amati keadaannya sugul takala aku bebas gembira
Aku lantas berang, lalu mengatur langkah memberontak
Belum pun sempat aku bertindak
Dia menghulurkan satu balutan

Aku merobek pembalutnya
Tika isi dibalik balutan kian mengimbau memori
Seakan disentap nyawa dengan rakus
Senaskah Kalamullah berada ditangan
Seberat semesta menginjak pundak

Retaliasi mendongak lantas air mata bergenang
Tak terkira persoalan ingin dipacul
Dengan lirikan senyaman salju dan santunan beredar
Berhati dia memberi jawapan
‘Aku hanyalah utusan.”…

-catatan John si ‘orang gila’-
-1347, Jun 22, 2009, wilayah separa sedar-

Sunday, July 19, 2009

-RUMAH HATI KELABU JINGGA-

-RUMAH HATI KELABU JINGGA-

Tika ini terpandang jauh
Hampir tak tergapai jemari mulus
Aku tertawa kebodohan sendiri
Kian lama bertukar tangis tragis

Rumah hati yang tak aku kenali
Berwarnakan kelabu jingga
Pintunya yang sentiasa terkunci
Menghalau setiap kedatangan pujangga

Aku cuba berlari
Menuju halaman kelabu jingga
Warna bunga warna hati
Melambai permainya pelangi

Rumah hati yang tak aku kenali
Terasa menjauh walau aku cuba mendekati
Berwarnakan kelabu jingga
Dan pintunya sentiasa terkunci...

-catatan John si ‘orang gila’-
-2215 Julai, 19, wilayah separa sedar-

Friday, July 17, 2009

- FILEM TAHUN INI : PROPESI KE - 6 (enigma 11 - satu teori) -

Lokasi penggambaran :

- Manik Urai
- Bumbung SPRM
- Luar negara
- Beberapa pejabat kerajaan


*pengelasan tapisan filem : 18 PL*


SENARIO -

Satu perjudian yang terlalu tinggi risiko dan taruhan. Bukan sejuta dua. Malah lebih. Canang dipalu bagai nak rak. Itu semua hanya menyedapkan hati, atau sebagai penaik moral-bahasa enaknya. Populariti merudum. Tak seperti yang disuntikkan melalui wadah-wadah. Aroma-aroma pencerahan datang bersama ombak keinginan menuju keadilan dan keharmonian untuk terus hidup dengan bebas. Seakan ilmu kebal Sang Jebat yang hampir hilang ketika Taming Sari bertukar tangan, ancaman kejatuhan terasa begitu dekat. Satu pendekatan proaktif perlu difikirkan.

PENYELESAIAN -

i - Mengelak secara intelektual dengan mengetengahkan idea kepentingan kolektif perlu diutamakan. Terbang sedikit jauh dari dunia realiti sendiri, menumpang topeng atas pentas lakonan diskusi kepentingan dua hala atau lebih, situasi menang - menang.

ii - Mempersembahkan silap mata, mengalihkan fokus dengan merengkotkan fikiran ke satu sudut yang lebih gempar. Seperti idea disebalik konsep peperangan artileri, satu tembakan menghasilkan kemusnahan yang maksimum. Satu mukjizat perlu diturunkan supaya maya pandang terkerdip tersentak.

PLOT i -

Secara psikologi menerapkan angin perubahan di'M'anchester 'U'nited sedang bertiup kencang. Akan pasti 'M'anchester 'U'nited akan beralih tangan. Propaganda-propaganda pra-kemenangan terus disebar. Ramai 'orang ramai' mungkin terbeli dengan dakyah tersebut. Sementara itu lebih ramai 'orang ramai' diberkahi pencerahan. Itu satu perkara yang boleh membatalkan magis propaganda 'Yang Kini Adalah Yang Terbaik'. Mudah kata - ini berita buruk.

PLOT ii -

Semua jangkaan tepat. MU tak mungkin dirampas. Angkat kaki terbang. Bertujuan suci murni, kepentingan kolektif menjadi tanggung jawab wajib fardu ain bagi dirinya sahaja - kononnya..Dari kejauhan umpama ada alat kawalan jauh ditangan, 'penyelesaian ii' diberi lampu hijau setelah 'butang-butang' ditekan dengan rakus. Kekecohan tentang penyelewengan mengambil tempat. Satu di seret, lima terbabit. Dentuman artileri sayup-sayup dibelebas telinga-telinga yang lebih-sensitif.

PLOT iii -

Satu diseret seharian. Kononnya bukti juga sangat positif. Keesokan hari yang diseret menjadi kasualti, ditemui. Rumor i - bunuh diri bagi melindungi rahsia. Rumor ii - dibunuh bagi melindungi rahsia. Lima lagi kini mempunyai motif. Kemungkinan bersabit adalah sangat cerah. Meraikan dalam gelap. Ketawa berderai bagai halilintar mengejutkan tidur siang seorang petani. 25% perhatian telah dialihkan secara halus dengan jayanya. Mampus la yang lagi lima. 'Yang Kini Adalah Yang Terbaik' kini mempunyai tangan teratas. Strategi yang boleh dibanggakan dan dikembangkan menjadi teori - fikirnya. Juga boleh dijadikan kes kajian penuntut-penuntut 'political studies'.

IRONI i

Masa dan cara kejadian yang sangat samar.

IRONI ii

Tempat kematian berlaku adalah dibangunan salah satu sayap bertindak milik 'Yang Kini Adalah Yang Terbaik'.

IRONI iii

Jika benar-benar penyelewengan berlaku, lima yang tersarung pasti tidak akan memgambil metod yang menarik perhatian atau yang mengundang publisiti/kontroversi. Lebih-lebih lagi tidak dengan cara 'menyenyapkan dengan mutlak'. Langkah yang sanggat bodoh jika diteruskan juga.

IRONI iv

Sehari selepas kejadian pembunuhan/bunuh diri adalah, sepatutnya, hari besar bagi sang kasualti. Perlukah dia mengambil langkah membunuh diri jika memang didalam pengetahuannya bahawa hari besarnya hanyalah keesokan hari!? Sedangkan jika sang kasualti ingin bermain kotor adalah amat mudah. Ugut saja lima yang itu seperti mana 'Yang Kini Adalah Yang Terbaik' selalu lakukan. Bukan kah itu langkah yang lebih menguntungkan?

Debat i

Didalam kes MU, populariti yang makin merudum dan pencerahan yang terus mencurah-curah, ini adalah satu konspirasi teori yang bijak bagi 'Yang Kini Adalah Yang Terbaik'- jika tidak terbongkar. Perhatian dabik dada dapat dialihkan kepada satu perlakuan jenayah yang di rancang rapi. Sementara perhatian secara 'skop' terhadap individu tertentu (that particular figure) dipesongkan penuh bijak atas tiket memperjuangkan kepentingan kolektif.

Debat ii

Jika benar-benar penyelewengan dilakukan oleh lima yang itu, situasi paling buruk untuk sang kasualti jika dia bertahan menyimpan rahsia - hanya dipenjara dan kemungkinan beberapa sebatan. Sedangkan diatas dasar percaturan politik kotor, lima yang itu tentu akan menghadiahkan sesuatu yang bernilai sebagai tukar-ganti 'masa berkhidmat' sang kasualti didalam penjara dan lelasan-lelasan punggungnya. Keluarganya tentu akan ditanggung. Tiada apa yang benar-benar menjejaskan sang kasualti kecuali masa bertahun yang terbuang. Dan yang terpenting-tak perlu mati!

Debat iii

Keadaan 'chaotic' yang sedang berlaku ini sebenarnya menguntungkan siapa? Mari kita kaji yang berikut

a - Dari sudut pihak kasualti. Dia mati. Tidak sempat meraikan hari besarnya. Namanya menjadi busuk dek tuduhan konspirasi. Keuntungan bagi pihak kasualti langsung tiada.

b - Dari sudut pihak lima yang itu. Jika benar penyelewengan berlaku, saksi utama atau 'key witness' telah sanyap secara mutlak. Tetapi masih diselubungi skandal yang sepertinya memang benar-benar terjadi. Keadaan semakin buruk. Harapan untuk membebaskan diri dari tuduhan konspirasi hampir hilang bersama hilangnya nyawa sang kasualti. Keuntungan bagi pihak lima yang itu juga hampir tiada.

c - Dari sudut pihak 'Yang Kini Adalah Yang Terbaik'. Fakta atau kebenaran tentang samaada penyelewengan benar-benar berlaku adalah sesuatu yang dipersetankan. Kekalahan di MU dapat diselindung dan dipesongkan dengan konspirasi penyelewengan. Perhatian 'skop' terhadap individu tertentu (that particular person) dapat dialihkan dengan situasi yang sangat terkawal dan mendapat restu. Sepertinya menghalalkan cara. Dielak penuh licik dan bergaya. Bergaya seperti seorang pejuang, memperjuangkan kepentingan kolektif. Baling satu batu, dua ekor burung yang mati. Tetapi dalam enigma 11 ini satu kes dicipta, satu kasualti, lima kerusi menjadi kosong dan 6 musuh ditebas dalam satu serangan. Bijak bukan? Jadi keuntungan bagi pihak 'Yang Kini Adalah Yang Terbaik' adalah seperti berikut :

1 - Kekalahan MU tidak dibesar-besarkan
2 - Populariti musuh dapat dijatuhkan
3 - Dapat memberi gambaran betapa musuh suka menyeleweng
4 - Dapat menumbangkan enam musuh dalam satu serangan
5 - Dapat peluang untuk merebut lima kerusi yang bakal dikosongkan
6 - Menguasai semula dengan majoriti yang tinggi

Jadi, setelah dikaji dengan akal separa sedar, perkara ini terlalu mudah difaham...sekurang-kurangnya bagi aku.


Ps : Jangan mengganggu siasatan. Biarkan Yang 'Cekap dan Pantas' menyelesaikan segala misteri...

Wednesday, July 8, 2009

- SELAMAT DATANG, PERPISAHAN (prelude) -



- SELAMAT DATANG, PERPISAHAN (prelude) -
(permintaan ulangan)


Aku cuba siulkan sonata ‘Eroica’ simfoni Ludwig ke 3
Diselangi gesekan biola alunan serpihan semangat
Spekulasi liar galak sebentar menghancurkan luh jiwa

Ritma-ritma selamat tinggal bersilih menyeringai
Memomokkan kisah-kisah si penyendiri
Gambaran hamba terbelenggu
Melolong wancana kelesuan sugul
‘celaka lah aku, aduhai malang’
Tangan dihalalkan menampar dada

Sedu yang terjeda
Menyesak gubuk kalbu
Yang namun pun penuh sisipan tragis
Langsung disitu nyawa [aku] disita
Amalan sang Genghis tiada belas
Lagikan derita tak pernah bertajuk

Antara liar malam
Serunai aku melagukan dendang terbuang
Sedang pun disengat ‘perpisahan satu pertemuan’
Namun tetap aku mendekahkan gigian langit
Yang tampak hina bersambung bumi
Lalu aku meminta pundak aku dibelah
Agar kisah ini mendaki ke atas
Satu lagenda yang mesti ditelan bimasakti

Dan ;
Aku hijabkan diri dari maya pandang makhluk daratan
Yang satu pun tak layak
Menjadi saksi

Kau dan aku, kita kisah haram
Hanya satu episod [iaitu] perpisahan
Tidak perlu hadirnya dialog
Yang hanya menambah kemuaan
Kuburkan saja agar aku mudah diwilayah pertemuan…



- catatan John si ‘orang gila’ a.k.a bubuk beras -
- 2340 Mei 11, 2009, wilayah separa sedar -

- SELAMAT DATANG, PERPISAHAN -


- SELAMAT DATANG, PERPISAHAN -
(permintaan ulangan)

Maafkan aku pohonan takdir
[Buah] perpisahan kau aku kerutkan
Tanpa cuba aku telan manisnya isi pertemuan kemudian
Yang ranumnya tanpa ada panen
Yang gugur ketika aku alpa

Aku bergelak dan memacu seakannya dibawah garisan tetapan
Aku bersenang dan menari tanpa sedar melodi yang mati
Tagihnya tetap, aku lihat waktu itu hidup
Cerita yang ampuh bagai tiada penutup
tanpa aku peduli audien berpusu pergi
hanya kesejukan kosong panggung menepuk sunyi

Ah! Ini tipuan menidakkan aku yang telah menyendiri
Sundalan si ahli magis ‘cinta’ mengakali mata [ianya] belum berakhir
Aku segar tersedar

‘KUN FA YA KUN’ maka perpisahan tepati janji
Aku yakin yang di pertemuan tersaji pengalaman hebat
Mana mungkin aku jatuh digertak kau perpisahan?
‘BISMILLAH’, ke pantai pertemuan aku mulai langkah


Aku ucapkan ‘Selamat ke wilayah aku, sang perpisahan’
Dan kemulusan sama mesra ditamu ‘pertemuan’

- catatan John si ‘orang gila’ –
- 0257 Mei 09 2009, wilayah separa sedar -

Monday, July 6, 2009

- KEBUN MIMPI -



- KEBUN MIMPI -


Di sini akhirnya
Telah aku diberkahi dengan penglihatan
Tanpa aku terus teraba
Di denai2 kebun yang seharusnya permai
Kini aku dilimpahi caturan fikiran
Menimbal kembali kiraan wajar
Yang terasyik dinoda

Tetapi kebun ini sepertinya tiada menerima kehadiran aku
Takala dingin pagi yang hampir hilang
Tika mana tiada lagi kokokan galak
Aku hampir percaya bahawa
Aku didalam sorga
Nyatalah setelah langit jingga mencerah
Aku hanya bermimpi didalam tidur fatik siang kota

Ya, aku bermimpi
Mimpi yang sememangnya menjanjikan setiap yang manis
Mimpi yang berlenang dengan cumbu-cumbuan
Mengiakan dambaan
Menghamparkan sutera garapan

Dan aku tidak mungkin harus terus begini
Berjalan pincang akal yang mati
Kudrat tersisa aku lonjakkan punggung berdiri

Terima kasih kebun yang seharusnya permai
Kini berikan aku semenit dua lagi
Ingin aku lukiskan abstrak kebun ini kali yang terakhir...

-catatan John si ‘orang gila’-
-0130 Julai, 07, 2009, wilayah separa sedar-



*kebun itu sangat permai, hijau dan segar...tiada aku mahu hidup di kota...*

Friday, July 3, 2009

- BINTANG ( PUISI UNTUK AL ) akhir ( i ) -

- BINTANG ( PUISI UNTUK AL ) akhir ( i ) -

Cermin raksasa ini bagai tiada guna
Tiada tertampak biasan cahaya kau
Meruntun keluhan sesal hati ini

Dimana…?
Bintang yang tak pernah aku lihat cahayanya…
Dimana…?
Bintang yang tak pernah aku dengar namanya…
Dimana…?

Dimana…?
Bintang yang tak pernah aku gapai selamanya…
Dimana…?
Bintang yang tak pernah aku abadikan fizikalnya…
Dimana…?

Tiada aku mencari kau disanubari
Bahkan layak kau di tandu qolbu
Di wilayah maha rahsia milik kepada hakikat
Maka hadir lah makrifat kau [ialah] bintang
Berakad lah saksi berpelamin bukti

Aku kian tertimbus oleh marmar takhta kau tika mana kau terusan mencipta lagenda
Siapa akan bertanggung jawab keatas ketagihan ini?
Dan aku
Aku hanyalah perayu yang cetek keazamannya
Pedoman tak mampu aku kaliskan
Aku tanggung gurisan, aku hilang cagaran segala gadaian
Pantasnya diterajang keluar dari balai cerapan

Kau bintang tanpa harapan
Kau bercahaya yang tiada kelihatan
kau mitos yang harus dibelah
Tika ini aku tunduk
Kapan sampai waktu aku kan kembali di cerapan ini
Mengitai kembali kau yang aku yakini hak

-catatan John si ‘orang gila’-
-1955 Julai 03, 2009, wilayah separa sedar-

- BINTANG ( PUISI UNTUK AL ) akhir ( ii ) -


- BINTANG ( PUISI UNTUK AL ) akhir ( ii ) –

Aku menyusuri lingkaran vakuum lohong gelap hingga ke bimasakti
Menyeluruh ke setiap kegelapan cakrawala
Disetiap sudut yang diwakili tetah dan grid
Mencari akan hangatnya cahaya
Walau pun kabur

Hadir kau kepada aku sebagai ilmu hanya pada nama
Al, si bintang cantik
Tak tertangkap cahaya kau mau pun biasan
Al, si bintang cantik
Nun entah disatu sudut dikejauhan
Berjuta tahun cahaya pasti aku rentas
Bagi menbuktikan hadir kau sebagai makrifat bintang

Betapa ungkal keazaman aku
Tak mampu aku menerobos ke kamar kau yang penuh rahsia
Dendangkan lah nama kau disetiap detik
Disetiap itu juga aku nantikan gemilau kau dengan debaran
Tidak aku luak, tidak jua aku jemu
Asalkan berbukti pada yang murshid

Mampukah aku lolong hingga kedengaran oleh kau
Nun ditaburan objek asing lantas bebas
Perintah lah apa jua
Pasti tiada tidak dan aku akur
Kiranya sedikit cahaya kau membelai lensa mata aku
Akan aku rekod didalam legasi aku
Begitu aku bersyukur

Kiranya aku lemah tak teradu
Maafkan kesabaran aku
Kini aku melangkah meninggalkan cerapan itu
Meninggalkan kesejukan cembung cermin teleskopik gergasi
Membawa lagenda Al, si bintang cantik
Aku yang sediakala sunyi kini kian menyendiri lagi

-catatan John si ‘orang gila’-
-0156 Julai, 04, 2009, wilayah separa sedar-

Thursday, July 2, 2009

- PERJANJIAN SANG PERAYAU -


-PERJANJIAN SANG PERAYAU-

Subuh ini
Rayauan aku terhenti seketika didataran semalam
Terketar temulang, gemuruh luluh gubuk hati
Nun satu sudut hantu-hantu merobah semalam, kencang menuju ke arah aku
Melakonkan lelucon jelik wataknya aku

Aku muntah!
Aku marah!
Aku caci!

Aku meratapi adengan-adengan sundal yang hanyut terus dideras dunia mimikan milik aku
Kebodohan ligat menggerak jari, tali bersambung aku si boneka daging
Hayun tari bebas dipaliti najis perlakuan capik

Dan aku terus meratapi semalam
Berterusan ke hari-hari sebelumnya
Tentang hidup aku arahnya tak pasti

Lumpur kemuncak kenaifan berterusan melimpah
Menyekat nafas yang sedia terpincang diterjah kekhilafan
Jiwa kecamuk menghitung babak-babak keungkalan

Aku terjelepuk diatas pasangan lutut ini
Lemah dikutuk ulangan perlakuan semalam
Rayu tangis mohon dihentikan
Pun tidak diperduli dek peredaran yang mengajar dewasa
Langsung dengan keras dipaksa menonton dan menilai
Rayauan-rayauan harian nan semalam

Dipejamkan mata, aku tak mampu menyaksikan lagi
Sudah cukup hari-hari lampau diisi dengan kejengkelan perlakuan songsang
Aku menghitung kosong telah sempurna ke angka sembilan
Lengkap sudah satu darmawisata
Tak aku buang, tak aku raikan
[Dan] akan aku susun hari-hari esok sesempurna mungkin
Takkan lagi hilang kawalan atas diri aku
Maka lepaskan lah aku dari hentian ini
Agar aku bisa menebus cagaran umur yang telah nun menjauh

Dan diakhir senja perhentian ini
Aku meterai janji
Aku terus kan merayau
Dan terusan mencari diri…

-catatan John si ‘orang gila’-
-1724 Mei 28, 2009, wilayah separa sedar-